Kisah Mr S
“ Selamat hari raya doktor”, sapa Mr S bila saja masuk ke klinik.
“Terima kasih, selamat hari raya. Tak beraya mana pun saya kali ni. Duduk rumah saja la PKP ni.”
“Itu lah, anak saya seorang ada yang muslim. Dah siap semua, tiba-tiba sehari sebelum raya dah announce kata tak boleh ziarah. Tapi dia datang juga sekejap ke rumah saya.”
Ini kali pertama Mr S beritahu saya, dia ada anak yang Muslim. Cerita Mr S anak dia ada 3 orang, seorang anaknya bekerja sebagai arkitek tukar agama ke Islam dan mengekalkan nama cina.
“Ya la. Sekarang kes tengah meningkat ni. Kerajaan terpaksa kuat kuasakan PKP. Bahaya nanti takut raya-raya ni makin merebak covid ni. Ini pun dah nampak lepas raya ni angka meningkat”, jelas saya.
“Saya tak pergi mana-mana pun doktor. Duduk rumah saja. Kalau keluar pun pergi beli barang atau hantar cucu ke sekolah”.
Hampir 4 tahun Mr S menjadi pesakit saya dan hampir tidak pernah miss setiap kali temujanji ke klinik. Seorang warga emas berusia 75 tahun, berbangsa cina yang amat fasih berbahasa melayu. Kalau setakat dengar kan perbualan kami, tentu orang ingatkan saya bercakap dengan pesakit melayu. Mungkin sebab agaknya Mr S ini asal dari Melaka, dan berkemungkinan ada darah peranakan nyonya agaknya.
Saya mula merawat Mr S bila dia dimasukkan ke ICU 4 tahun lepas di sebabkan ‘impending Diabetes Ketoacidosis (DKA)’, dengan tahap glucose dalam badan terlalu tinggi dan kekurangan air dalam badan. Kata Mr S dulu, hari-hari dia minum air gas dan tidak berapa patuh dalam pengambilan ubat-ubatan kencing manis. Itu sebabnya tahap gula tak boleh di kawal, apatah lagi dengan minuman berkabonat yang tinggi kandungan gula dalam air yang di teguk berbotol hari-hari. Selepas keluar dari wad, dia dah berhenti ambil minuman berkabonat. Cuma sesekali curi-curi minum kata nya. Selain dari Mr S juga menghadapi darah tinggi dan chronic kidney disease, tapi dalam bacaan yang masih terkawal. Beberapa kali juga saya saran kan Mr S untuk di rujuk pada pakar buah pinggang, kerana itu bukan bidang saya. Malah ada antara anak nya yang juga doktor yang boleh dapatkan pandangan pakar nephrologi yang lain, tapi Mr S tak mahu. Dia selesa untuk saya terus rawat dia, jadi saya pun sambung sajalah rawatan susulan beliau.
Seperti warga-warga pesara yang lain, Mr S suka berbual. Mungkin bila datang berjumpa doktor, ada juga orang yang boleh dengar cerita dia. Dia selalu ceritakan tentang cucu. Cucu berusia 4 tahun yang selalu suka bersandar atau baring di lengan bila minum susu sebabkan beliau mengalami kesakitan pada sendi bahu. Tak bagi kesian katanya, sebab cucunya manja dengan kong kong (panggilan atuk dalam bahasa cina). Memandangkan hari ni saya tak ramai pesakit, saya ambil masa jugalah bersembang dengan Mr S ni.
“Anak saya yang masuk Islam tu, nama dia masih nama cina.”
“Masuk Islam, tak semestinya kena tukar nama pada nama melayu. Boleh saja kekalkan nama cina. Masuk Islam bukan bermakna masuk melayu. Ramai orang yang salah anggap ingat masuk Islam, tukar jadi melayu.” Saya cuba jelaskan. Sebelum ni tak pernah Mr S berbicara tentang topik-topik menyentuh tentang aspek agama, bangsa atau politik. Cuma sebab kefasihan bahasa melayu dia, ada kalanya saya selalu menggunakan perkataan-perkataan seperti Alhamdulillah atau InsyaAllah dalam perbualan.
“Raya Cina pun dia celebrate, lebih pada orang lain.” kata Mr S.
“Dalam Islam, tak salah sambut raya cina sebab itu acara kebudayaan. Selagi tak ada percampuran minum arak ke atau makanan-makanan yang tak halal, boleh saja.”
“Memang tak ada minum-minum macam tu. Makanan tak ada masak yang tak halal.” Jelas Mr S.
Kami sambung perbincangan tentang isu- isu kesihatan beliau. Keseluruhannya Mr S boleh di katakan sihat. Paras gula dalam badan juga agak stabil dengan ubat-ubatan. Ada kala dia masih curi-curi minum atau makan makanan yang manis. Dalam usia beliau yang sebegitu, saya tidak lah terlalu strict sangat. Asalkan kualiti hidup dia bagus, pada saya ianya sudah memadai. Pernah beliau ungkap kan, “Berapa lama pun nak hidup. Dapat rasa selesa dan sihat macam ni pun dah cukup.”
Saya tak ada lah nak paksa sangat tentang pemakanan beliau.
“Mr S dah dapat vaksin ke ?”, tanya saya.
“Belum lagi. Dah register dalam MySejahtera ni. Tak ada apa lagi. Saya tengok ada yang muda dah dapat vaksin”, timbul perasaan ketidakpuasan hati.
“KKM bagi berperingkat. Kena tunggu mereka panggil tu nanti. Sekarang ni dah masuk fasa kedua, sepatutnya tak lama lagi.”
“Perlahan sangat cara mereka kendalikan kes.”
“Terlalu ramai agaknya. Rasanya mungkin tak lama lagi akan di panggil tu untuk di berikan vaksin”. Saya cuba mencari alasan, walaupun saya bersetuju dengan beliau terlalu perlahan tindakan kerajaan dalam menangani isu ini. Sepatutnya program vaksinasi ini perlu di percepatkan untuk mencapai sasaran mendapat imuniti kelompok. Pemberian vaksin buat masa ini masuk ke fasa kedua, keutamaan pada warga emas berumur lebih 60 tahun. Kalau ikutkan rasa nya mungkin tak lama lagi Mr Siow juga akan di panggil untuk menerima vaksin. Walau bagaimanapun ada usaha dari pihak kerajaan untuk menjurus ke arah itu, untuk menambahkan pusat-pusat pemberian vaksin dan juga memastikan bekalan vaksin mencukupi.
‘Ok, ubat semua teruskan dengan ubat yang sama. Saya tak ubah dos dan tak tambah ubat yang baru buat masa ni. Jangan risau pasal vaksin tu. InsyaAllah saya rasa Mr S akan di panggil tak lama lagi. Jangan tak pergi pulak”, saja saya berseloroh.
“Mesti kena pergi ambil vaksin tu doktor”
“Saya bagi appointment tiga bulan lagi. Ambil ujian darah yang sama”.
Ulasan