Bila Bumi Merajuk


Merajukkah kau bumi...
Bila manusia bertindak sesuka hati
Mata air mu berhenti menangis
Lalu sungai mu tak lagi mahu mengalir
Tanah kegersangan
Kau umpama membakar diri
Langit tak sebiru dulu
Awan diselaputi jerebu
Hujan tak juga mahu turun
Pokok-pokok kekuningan layu tak bermaya
Ikan di kali mati kehausan

Merajukkah kau bumi...
Bila manusia makin tak sedarkan diri
Angkuh menongkah langit
Tak sedar tujuan diturunkan ke bumi
Kezaliman bermaharaja lela
Peperangan di sana-sini
Pemerintah keliru
Rakyat bercelaru
Yang bodoh dimartabatkan
Yang benar disenyapkan

Merajukkah kau bumi...
Bila tahyul bermaharaja lela
Kurafat menjadi kebiasaan
Maha Pencipta di persenda
Bertuhankan pada kebendaan
Meminta pada yang tak memberi
Sedang kau bumi...
Bertasbih pada Ilahi tak henti
Takut yang amat pada Yang Kuasa

Sedarlah wahai manusia...
Bumi merajuk kerana kamu
Bumi protes kerana salah lakumu
Bumi menangis kerana khalifah yang tiada amanah
Kembalilah wahai manusia...
Telah banyak peringatan dari bumi mu ini
Sementara kamu masih ada masa
Sementara kau masih melihat matahari terbit dari timur
Sebelum bumi ini Allah gantikan dengan bumi yang baru
Kerana rajuknya bumi pada manusia

-Alhambra
13/3/2014



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

17/09/2017-Pengembaraan ke Kashmir (KL-New Delhi)

Tangan Tangan Ghaib

Travelogue to Turkey- Part VI-Konya - Mevlana museum and Sultanhani Caravanserai