Apa khabar anak-anak kita
Sudah bangkitkah dari lena
Atau masih lalai dan terus leka
Dibuai dongeng sang penglipur lara
Kononnya merasa diri masih tuan
Hakikatnya sudah jauh ketinggalan
Bermimpi mahu menggapai awan
Sedang baring sambil berangan
Merasa diri sudah di bulan
Apa khabar anak-anak kita kini
Terkinja-kinja di pentas fantasi
Sangkaan mereka itulah hidup realiti
Menyanyi menari hingga lupa diri
Gila mengejar glamor dan populariti
Mahu bergelar artis dan selebriti
Bakat seni diasah tiada merasa rugi
Anak menang beradu menyayi
Ibubapa bersyukur tak terperi
Mengalahkan anak masuk universiti
Buta jawi dan mengaji tiada pula ditangisi
Sedari kecil sudah dicuci otaknya
Besok bahagia jadi bintang ternama
Tak mengenal alif ba ta tidak mengapa
Bila sudah berjaya ada nama
Ibubapa bisa tumpang merasa
Apa nak jadi anak-anak kita
Umur sudah cecah usia dewasa
Masih tinggal solat yang lima
Jumaat pun sekali sekala
Usah dibilang berapa hari puasa
Hari raya merekalah lebih beriya
Al Quran hampir tiada dibuka
Apa lagi untuk memahami makna
Lulus periksa A plus merata
Mula berhujah guna akal semata
Hadis Nabi mahu didusta
Ulama' dan guru pula dicerca
Perasan ilmu penuh di dada
Padahal ablasa menguasai jiwa
Apakah nanti nasib kita ibubapa
Kelak entahkan dijaga atau dibuangnya
Hajat dihati melahirkan pejuang
Apakan daya padi yang ditanam tapi tumbuhnya lalang
Hanya tahu menghabiskan wang
Apa mereka yang sukar dididik
Atau kita yang asyik mengherdik
Mereka kah memilih jalan yang salah
Atau mungkin kita yang silap tunjuk arah
Mereka kabur tujunya kehidupan
Kitalah yang harus memimpin perjalanan
Agar mereka bisa kembali ke pangkal jalan
-Cetusan Rasa Alhambra
01 October 2014
http://m.youtube.com/watch?v=ndm8-ObOO1M
Ulasan