Khitmir
Khitmir...
Nama mu dipetik dari kisah Israeliyat
Walau dalam Al Quran tidak jelas tersurat
Hanya di kisahkan kau menemani Ashabul Kahfi
Tiga ratus di tambah sembilan tahun lamanya kau turut bersembunyi
Kamu makhluk ke empat bila mungkin mereka bertiga
Kamu makhluk ke enam bila disangka mereka berlima
Jika mereka bertujuh maka kamulah yang kelapannya
Tidak perlu kita meneka kerana itu semua tiada guna
Biarkan saja ilmu itu hanya ada pada Nya
Kamu juga makhluk istimewa ciptaanNya
Ada kelebihan juga ada kekurangannya
Bezanya kamu dan keturunan mu ada diletakkan garis hadnya
Hukum yang menjadi khilaf di kalangan manusia
Kenapa dan mengapa tidak usahlah kita pertikaikannya
Jangan pula berhujah hanya guna logik akal semata
Kerana Pencipta Maha Bijaksana dari apa yang dicipta
Kalau itu perintah dari yang Maha Kuasa
Kita harus menerima seadanya
Bersandarkan hadith dan sunnah Nabi kita
Tentulah ujian itu ada hikmahnya
Keturunanmu tiada pula patut dipersalah
Hanya sifat manusia itu yang suka berbalah
Keras hati dan tak mahu mengalah
Berbahas kencang dalam perkara yang khilafiyah
Tuduh menuduh tanpa merasa bersalah
Sedangkan ilmu baru sedikit tapi sudah mahu bermegah
Ramai pula yang mudah terpengaruh
Tak kurang yang menangguk di air keruh
Mahu mencucuk hidung dan menuruti apa yang disuruh
Katanya tiada apa-apa bahkan bisa saja disentuh
Teralpa kita dengan agenda licik musuh
Ketawa mereka melihat kita bergaduh
Kembalilah kita wahai teman
Janganlah mudah kita di tawan
Sedang mereka gembira bertepuk tangan
Hanya kerana Khitmir kita jadi bahan sindiran
Penuhkan dada dengan ilmu
Agar kita tak mudah tertipu
Tak mudah melenting bila disiku
Tiada guna berdebat dengan yang tak berilmu
Ingatlah pesan Imam Syafie
Katanya 'Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu
Tapi pasti kalah dengan seorang yang jahil
Kerana orang yang jahil
Tidak pernah faham landasan ilmu'.
-Alhambra
23 Oct 2014
Ulasan