Aku Masih Bernafas
Ku buka perlahan-lahan mata
Terdengar bagaikan ada suara menyapa
Wahai jiwa yang bergelora
Bangkitlah engkau dari lena
yang panjang
Sudah berabad lamanya rohmu terpenjara
Ayuh keluarlah dari selimut kemalasan
Campakkan pakaian angan-angan
Berhentilah berlari mengejar mimpi
Kerna ia belum pasti
Wahai diri
Mengembaralah ke pelusuk bumi
Terokailah langit dan lautan ini
Jejakilah tanda kebesaran Ilahi
Kelak kau akan meyakini janji
Bahawa segalanya tidak berakhir disini
Marilah memburu kasih sejati
Akhirnya kau akan menemui
cinta yang hakiki
Wahai jiwa yang tenang
Kembalilah kepada keredhaanNya
Hidupkan sepertiga malam
dengan zikir dan munajat
Tanda syukur dan setia
seorang hamba kepada tuannya
Wahai diri bangkitlah segera
Usah lagi membuang masa
Hadaplah wajahmu ke kiblat
Carilah bekalan akhirat
Nescaya dunia tunduk padamu
Kerana hatimu telah merdeka
dari belenggu
kecintaan kepad dunia
dan takutkan mati
Wahai diri
Janganlah menangguh taubat
Lakukan sebelum terlambat
Datangnya maut berjemput
bagaikan disentap
Putus nafasmu tidak terawal
jua tidak tertangguh walau sesaat
Tiba detiknya pasti nafasmu terhenti
Tersentak dari lena
Sangkaku roh dan jasad
telah berpisah jua
Lantaran leka pada fana
Rupanya kematian kecil cuma
Aku bersyukur kepadaMu
kerana masih menunda ajalku
Biarpun seketika cuma
Sehingga sampai waktunya
Panggillah aku pulang
Dalam sedia
Ku ambil wuduk
Ku capai sejadah
Lalu aku bersujud dan pasrah
pada keagunganMu
Ku baca warkah cintaMu
Ku cuba fahami maksudmu
Ku ratib namaMu yang terindah
KepadaMu ku merayu dan mengadu
Meratapi untung nasibku
Bagaimana nantinya aku di sana
Dapatkah meminum air dari
al kauthar
Berteduh dibawah bayangan arash
Berjayakah melepasi titian sirat
Wahai diri
Menangislah menagih simpati
Beristighfarlah memohon keampunan
Rayulah rahmat dan belasNya
Penuh mengharap
Tanpa rasa jemu dan bosan
Bersungguhlah memohon nya
Dalam munajatdan doa
Di kala tahajud dan dhuha
Bagaikan rindunya sang pungguk pada
bulan purnama
Ya Allah
Segala puji bagiMu
Atas segala nikmat yang tidak terhitung
Pastinya tidak mampu aku membalasnya
Biarpun berkurun lama
aku bersujud menyembahMu
Ya Rabbi
Aku bersyukur kepadaMu
Kerana aku masih bernafas
Ulasan